Kampung Kuantan terkenal dengan Kelip-kelip. Kawasan hinggapan yang banyak hanya terdapat di sini. Malah ada pendapat menyatakan keajaiban Kelip-kelip hanya terdapat di dua tempat sahaja di dunia ini dan salah satunya ada di Kampung Kuantan.

Pengembaraaan kawasan Kelip-kelip bermula pada awal tahun 1970 oleh seorang pengusaha tempatan yang melihat potensi komersil keajaiban ini. Kini pengembaraan ini telah diamanahkan kepada Majlis Daerah Kuala Selangor dan ia telah berkembang dengan pesatnye dengan penambahan sebanyak 27 sampan yang disediakan untuk menampung pengunjung.

Hari ini Kampung Kuantan terkenal dengan keajaiban Kelip-kelip bukan sahaja kepada pengunjung tempatan malah di serata dunia.

Kelip Kelip dan Pohon Berembang

Kelip-kelip adalah sejenis serangga dari kumpulan kumbang. Specis jenis 'Pteroptyx tener' adalah sepsis yang terbanyak sekali terdapat di Kampung Kuantan. Keunikan yang ada pada Kelip-kelip ini adalah pada ekornya, yang mengeluarkan kelipan cahaya. Yang menjadikan Kelip-kelip ini lebih unik lagi ialah kelipan cahaya yang dikeluarkan oleh serangga ini adalah serentak pada setiap masa iaitu pada kadar 3 kelipan sesaat. Dalam ribuan Kelip-kelip ini cahayanya bagaikan satu rentak yang bercahaya. Kelip-kelip berukuran cuma 6mm panjang. Kelip-kelip jantan mengeluarkan cahaya yang lebih terang berbanding yang betina untuk tujuan menarik perhatian Kelip-kelip betina. Jangka hayat Kelip-kelip ialah selama 2 hingga 3 bulan.

Pokok Berembang atau 'Sonneratia Caseolaris' adalah sejenis pokok bakau yang tumbuh liar di tebing Sungai Selangor. Ia memerlukan keadaan cuaca yang lembap dan persekitaran berpaya. Pokok berembang penting kepada Kelip-kelip sebagai sumber makanan. Selain daripada itu, pokok Berembang juga penting sebagai habitat serta bertindak sebagai penapis kotoran dan racun dan mengeluarkan air bersih untuk hidupan yang terdapat di dalam sungai.